Saturday, January 31, 2009

JOM BALIK BEKERJA!

Kehangatan kempen Pilihanraya Presiden Amerika Syarikat yang makan masa berbulan-bulan, hangat,panas dan mewah pun dah tamat dan keputusan pun dah muktamad. Kini semua pihak yang dulu bertentangan bergabung tenaga untuk membantu Presiden menjalankan kerja. Yang lain balik rumah dan teruskan kehidupan masing-masing. Kempen dah habis, politik berlawan pun habis. Kini semua pihak yang bertanding beralih ke tugas masing-masing, iaitu menjalankan mandat rakyat, samada sebagai pembangkang mahupun pemerintah. Rakyat tidak lagi di libatkan seperti kehebatan musim berkempen. Lagi hebat, kepada orang luar Amerika, dipaparkan bahawa SEMUA pihak yang bertentangan, masih bertentangan tetapi dimedan tertutup dan kepada orang luar, hanya ada satu PEMIMPIN bagi Amerika, iaitu PRESIDEN yang menang tempoh hari. Tiada saingan!

Di Malaysia? Kempen masih berterusan siang dan malam dan rakyat diajak terus bertelagah dan mengacau agar yang menang tidak dapat berfungsi aman dan tenteram. Dalam parlimen, luar Parlimen bukan sahaja wakil parlimen, malahan semua rakyat diajak dan dikacau untuk terus berpolitik untuk parti masing-masing. Yang kalah tak puas hati, nak juga lawan lagi. Macam-macam gimik dan cara dilakukan agar nama terus segar dan pengikut terus dapat dikumpul. Buat apa? Buat teman hingga ke pilihanraya yang akan datang 5 tahun lagi atau lebih cepat dari itu! Rakyat yang digula-gula terus ikut seronok hingga leka bersemangat juang seolah-olah hidup ini hanya untuk politik!

Dari satu isu ke satu isu, segala ruang dan peluang diguna untuk ajak rakyat terus menemani mereka berpolitik. Sebab apa? Dah tak ada kerja nak buat ke? Sebagai wakil rakyat dan wakil parlimen, sebagai ahli politik sepatutnya lepas muktamad pilihanraya, mereka ada banyak kerja hendak dibuat. Bukan untuk politik kepartian semata tetapi beralih kepada kepentingan Negara lah pula. Masing-masing ada peranan, sebagai pembangkang atau pemerintah baik. Rakyat juga ada peranan selain meneruskan kehidupan untuk diri dan keluarga. Rakyat tidak harus diganggu lagi kerana mandat sudah diberikan kepada mereka, jadi buat sahaja lah kerja masing-masing. Bila tiba masa berkempen untuk pilihanraya seterusnya, barulah rakyat diajak bersama. Sehingga itu, semua buat kerja dan rakyat pun buat kerja dan tiba masa habis tempoh, rakyat jadi hakim lagi.

Di Malaysia, ada seorang insan yang memberikan pangkat kepada dirinya sendiri sebagai KETUA UMUM atau BOSS! Dia berterusan berkempen, mengharu-birukan Negara dan Rakyat. Kalau pun Kerajaan yang telah menang pilihanraya lalu, ada buat silap atau tak kerja, hang sebagai Ketua Pembangkang buatlah tugas mengikut lunas-lunas demokrasi di Parlimen dan kalau di Parlimen pun tidak dapat menyuarakan kehendak, apa tidak ada ke jalan lain untuk melaksanakan tugas sebagai Pembangkang? Hang pun ada tugas rasmi melalui mandat rakyat, sama seperti pihak yang menang sebagai Kerajaan tu. Satu untuk mengetuai Kerajaan, satu pihak lagi menjadi pembangkang untuk 'check & balance". Jadi terima lah mandat rakyat, takkan tak puas hati lagi? Tetapi kalau masih asyik berkempen dan berpolitik, bila nak buat kerja? Rakyat pula takkan asyik nak meneman kan dia sahaja siang malam dan nak dirunsingkan dengan masaalah negara? Tugas membangkang pun tugas juga, sama macam tugas memerintah. Jadi belajar lah dari Amerika tentang bagaimana untuk menjadi pembangkang yang berkesan. Membangkang tidak semestinya wajib membangkang setiap masa dan setiap perkara. Ada masa bekerjasama, ada masa tolong jayakan apa yang pemerintah nak buat, ada masa tegur ikut proses yang ada, ada masa bincang elok-elok. ada masa bagi cadangan dan bantuan agar pemerintah boleh menjalankan tugas lebih baik. Semuanya untuk rakyat dan negara, bukan untuk parti masing-masing puak semata.

Jadi oleh itu, wahai sahabat dan rakan, kita sebagai rakyat yang bertamadun dan berfikiran, mari kita tinggalkan semua mereka ini dan kita teruskan kehidupan harian kita jauh dari menjadi tukang sorak, tukang ramai, dan tukang tukang untuk mereka itu semua. Jangan sekali-kali kita diajak untuk memenuhi ruang-ruang manusia agar mereka kelihatan hebat dalam kerja tidak berfaedah yang melekakan dan merugikan diri dan keluarga serta akhirnya negara kita sendiri.

Pada saya manusia bernama ***** itu hanya menggunakan ruang dan peluang yang ada didalam senario politik Malaysia ini, semata-mata untuk kepentingan peribadi beliau. Sebab nya adalah kerana beliau terkilan akan apa yang telah terjadi kepada dirinya satu waktu dulu. Beliau telah tersilap perkiraan hingga jatuh berguling disa'at pintu mahligai sudah mencecah hidung!

Terkini, perancangan sedang diolah untuk membuat kacau dengan cara demonstrasi besar 100,000 orang ala-ala himpunan Bersih dan Hindraf pada waktu parti Kerajaan, iaitu parti UMNO akan sibuk mengadakan persidangan agung mereka.

Isu yang akan digunakan, yang paling ampuh untuk mencemarkan Parti Melayu itu ialah isu Pembelajaran dan Pengajaran Sains/Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), Untuk itu para pejuang bahasa akan digula-gulakan dan digembeling untuk dijadikan perisai perjuangan. Perjuangan Bahasa? Bukan! Perjuangan untuk terus-terusan menggugat dan melemahkan kekuatan parti tonggak orang Melayu kerana setiap kerugian mereka adalah keuntungan yang ditambah!

Umpama membunuh 2 ekor burung dengan sebiji batu, perhimpinan Gerakan Membantah PPSMI ini akan berlangsung pada 7 Mac 2009 iaitu menjelang ulangtahun pertama PRU 12!

Kalau dicontohi cara berpolitik parti di Amerika, sudah tentu kita boleh kategorikan puak yang ada di Malaysia ini jauh sekali bandingannya. Sedangkan keharmonian dan kewarasan rata-rata rakyat Malaysia jauh lebih baik dari itu. Apakah kita mahu cara politik seperti sesetengah Negara dunia ketiga di bawa ke Negara kita yang aman,damai dan maju ini, hanya kerana memberikan kepuasan kepada seorang insan gila talak?

Pernah satu waktu dahulu, kita dicemari dengan kegilaan akibat insan ini. Namun sebaik dianya disimpan bagi menjalani hukuman diatas angkara perbuatan sendiri, maka keamanan dan kewarasan kembali kedalam masyarakat. Kini dia menggila lagi? Agaknya kalau saya pun sedang dilamun perasaan takut, perasaan malu, perasaan gundah gelana kerana sedang menanti tarikh untuk dibicarakan sekali lagi atas satu dakwaan jenayah yang saya dituduh melakukan sekali lagi, saya pun boleh jadi gila dan hilang segala pertimbangan. Agaknya diwaktu malam setiap kali ingin melelapkan mata, ketakutan meragut hingga berpeluh seluar dalam, membayangkan diri yang berseorangan ditinggal kawan dan lawan, hina dina dicemuh orang dan hilang segala harta dan kepunyaan yang selama ini dikecapi. Gila, gila bukan kepalang! Apatah lagi apabila terbayang akan betapa malangnya diri ketika berada ditempat hukuman yang pernah dilalui dahulu! Oh tidak, tidak sekali lagi, gila, gila! Walaupun selagi bicara belum berlangsung, diri belum lagi bersalah, namun bak kata orang berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul!
Sebaliknya, apakah jawatan atau kedudukan yang digilainya itu sesuatu yang dirasakan hak peribadi umpama tahkta yang menjadi warisan keturunannya? Dan kita? Kita wajib menobatkan dia disitu? MasyaAllah, jangan sampai kita di laknati Allah yang Maha Esa akibat kelemahan kita berfikir dan bertindak!

1 comment:

Anonymous said...

salam,
hi..
just do some surfing and come across this blog.
are you Mohd Shukri Ibrahim?
have you went to SMK Sri Rompin before?

If yes, I'm just one of your schoolmate there.

Thanks